PEKDIS CAW. LAWAS

"Service Beyond Ordinary Because Of Allah"

Sunday, October 15, 2006

RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA 2006


"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN &
SELAMAT BERPUASA"

MAAF ZAHIR BATIN

setiausaha,

Berikut ialah resolusi yang dipetik dari laman web Mufti Perak.


R E S O L U S I
MUZAKARAH ULAMA 2006
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-78
KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN.

Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan Pluralisme

MUKADIMAH
Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-
Beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian
Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Al-An`am: 153

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Casuarina, Ipoh pada 14-16 Jamadil Awwal 1427H, bersamaan 11 -13 Jun 2006 telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumuskan tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal” dan pluralisme agama.

Muzakarah telah mencapai kesepakatan menilai dan menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya.

Ia adalah sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing: sekularisme modenisme dan pascamodenisme. Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya, termasuk,

• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah Islamiah).
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci, wahyu Ilahi (kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad s.`a. w.
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’.
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya.
Berasaskan hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:

DASAR-DASAR KERAJAAN

1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah hirasatu ‘d-din wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara agama dan mengurus kehidupan duniawi dengannya) serta kewajipan melaksanakan perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf dan an-nahyu `ani ‘l-munkar (memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama. Sehubungan dengan itu langkah-langkah seperlunya hendaklah segera diambil bagi mencegah penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran program-program (media elektronik) yang mempromosikan idea liberalisme dan pluralisme dalam pengertian tersebut.

2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan berkongsi perayaan hari kebesaran keagamaan di kalangan penganut pelbagai agama hendaklah ditinjau kembali dari segi keselarasannya dengan hukum syara` kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik.


3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan secara yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan syari`atnya, menguatkuasakan undang-undangnya, menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan institusi-institusinya.

Sehubungan dengan itu hak dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.

4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah hendaklah dengan tegas dan muktamad menolak IFC ((Interfaith Commission) dan gagasan-gagasan lain sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya, undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta mencampuri urusan keagamaan masyarakat Islam.


5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma dalam bentuk keleluasaan budaya hedonistik pesta-pestaan dan hiburan yang melampau-lampau, muzakarah ini berpendapat bahawa perkembangan tersebut akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan agama dalam erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran iklim kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan dengan itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera bertindak mengawal perkembangan tersebut, terutama media massa (cetak dan elektronik) yang seharusnya berfungsi mendidik rakyat dengan nilai-nilai murni keagamaan untuk merealisasikan cita-cita pembinaan masyarakat yang religius (masyarakat yang taat beragama).

PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN

6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap keutuhan dan kemurnian Islam akibat berleluasanya penyebaran faham dan aliran pemikiran yang menyeleweng seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan Islam Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk memantau dan menangani ancaman pemikiran tersebut. Sebuah unit khas dengan fungsi seperti di atas perlu diwujudkan di Jabatan Mufti.

7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang memakai label “Islam liberal” tersebut selalu diperlihatkan sebagai wacana yang bersifat keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan agar kursus mengenai aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng diajarkan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan penekanan khusus pada kritik dan sanggahan terhadap “Islam liberal” dan aliran-aliran lain sepertinya.

8. Sehubungan dengan perkara di atas, program penghantaran pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke institusi-institusi pengajian tinggi luar negara hendaklah dilaksanakan secara yang lebih selektif dan berhati-hati dengan mengambil kira risiko pengaruh pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar berkenaan.

9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang membahayakan faham dan pegangan keagamaan di kalangan umat, muzakarah ini merasakan perlunya usaha pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah (berasaskan faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua peringkat pendidikan formal dan tidak formal.

DAKWAH DAN DIALOG

10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat mencemarkan kemurnian ajaran Islam adalah bersifat global, intensif dan terancang, muzakarah ini menggesa semua pihak, institusi-institusi kerajaan, badan-badan dakwah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik agar lebih prihatin dan berpartisipasi secara aktif, serius dan penuh komitmen dalam gerakan membasmi faham-faham perosak, dan menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal” termasuk faham pluralisme agama.

11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam dengan menolak “Islam liberal” dan faham pluralisme agama, muzakarah ini ikut mendukung idea dialog antara agama dengan semangat untuk saling memahami dan saling menghormati tanpa mencairkan jati diri dan keyakinan terhadap agama masing-masing. Selain itu, pintu dialog juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak termasuk para pendukung “Islam liberal” dan lain-lainnya.

PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA

12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan ijtihad. Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus dilaksanakan berasaskan prinsip dan kaedah yang sah mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan ini, muzakarah mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak dengan sendirinya bererti kebebasan dan kesewenang-wenangan ber”ijtihad” tanpa tertakluk kepada sebarang syarat. Ijtihad adalah `ilmun wa amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh mereka yang memenuhi segala persyaratannya.

TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH

13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk mendistorsikan hakikat Islam dan mencipta “Islam” versi liberal, muzakarah ini bertekad untuk berjuang mempertahankan dan mempromosikan Islam hakiki, tulen dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru seluruh umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam untuk merubah wajah dan citra Islam mengikut selera dan keinginanan mereka.

Hotel Casuarina, Ipoh,
16 Jamadil Awwal 1427H,
13 Jun 2006.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home