PEKDIS CAW. LAWAS

"Service Beyond Ordinary Because Of Allah"

Saturday, October 08, 2005

Kesukarelawan-Petikan TERAS MELAYU

KESUKARELAAN DAN PEMBENTUKAN TAMADUN BANGSA
Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid
TERAS Pengupayaan Melayu


Pembinaan sebuah bangsa bertamadun bermula dari cara berfikir dan budaya hidup. Asas berfikir dan budaya hidup ini pula dibentuk oleh nilai dan pandangan hidup yang dipegangi oleh masyarakat bangsa tersebut.

Masyarakat yang mempunyai kekuatan berfikir dan mengamalkan nilai hidup yang murni akan menyuburkan lahirnya tamadun yang murni jua. Sebuah kehidupan yang bertapak di atas landasan yang benar akan menjadi pemandu kepada bentuk dan corak masyarakat yang berkenaan.

Dalam realiti masyarakat yang diasak dengan pelbagai dorongan dan keghairahan kepada urusan hidup seharian yang bersifat materialistik, budaya hidup murni seperti budaya kesukarelaan akan sering terhalang untuk terus subur. Cabaran dari sebuah tamadun kebendaan yang menguasai masyarakat dewasa ini bukan sahaja akan meninggikan kehidupan masyarakat untuk subur dengan nilai-nilai hidup bersama yang saling menolong, saling mengukuhkan, akan tetapi akan mengikis budaya berkorban dan menyumbang sekaligus mengukuhkan pula budaya bersaing tidak sihat dan budaya saling memintas antara warga masyarakat.

Realiti yang kian subur dalam masyarakat kini jelas menandakan budaya hidup penting diri, hidup seperti onar dalam belukar. Akibat dari rancak dan kuatnya arus masyarakat berkejar-kejar, sibuk dengan perlumbaan yang tidak ada titik hujung…… berakhir dengan sebuah masyarakat yang semakin menipis rasa prihatin dan rasa sensitif dengan hak orang lain. Budaya hidup selesa dan hanya memenuhi selera tembolok sendiri menyebabkan semangat menyumbang bukan lagi sesuatu yang mengghairahkan.

Kehidupan sebegini sememangnya ada peransang dan promoternya. Budaya hidup konsumeris adalah pendorong untuk masyarakat leka dan tenggelam dalam hidup menumpu kepada keghairahan untuk memiliki dan mengguna pelbagai produk dalam pasaran. Lantaran industri pengiklanan kini semakin cekap mengguna teknologi digabung dengan pendekatan psikologi yang sangat berkesan, telah menyuburkan dan memperkukuhkan sindrom mengejar penggunaan produk terkini dan ‘trendy’ di kalangan masyarakat.

Masyarakat berpusu-pusu saling mengejar untuk memiliki barangan terbaru dan berakhir hanya sebagai persaingan konsumeris. Akibat sengitnya trend untuk membeli, membeli dan membeli, seluruh corak dan arah berfikir masyarakat tertumpu kepada mencari kesempatan untuk membolot kekayaan dan hidup mewah. Ransangan ini menjadi pendorong kepada masyarakat untuk mengikuti rentak dan corak hidup semasa. Dengan sokongan media, sekaligus masyarakat terkondisi dengan budaya hidup yang saling kejar mengejar dan gila dengan hidup bersandarkan status simbol.

Berdasarkan latarbelakang realiti masyarakat yang semakin menumpukan kepada budaya yang tidak menyuburkan nilai kesukarelaan, kesedaran yang kritikal terhadap budaya hidup yang ada kini perlu dibahaskan. Antara realiti yang perlu dibahas secara kritikal adalah:

Budaya hidup hedonistik dan serba permissif.
Budaya hidup kemewahan dan membazir.
Budaya hidup berasas status simbol.
Budaya hidup konsumeris.
Budaya hidup individualistik.
Budaya hidup materialistik.

Kami berpendapat bahawa wujudnya fenomena semua budaya hidup di atas yang semakin mendominasi hidup moden kini akan mengheret masyarakat kepada tamadun yang bersifat ‘de-humanisasi’. Dalam ertikata lain akan berlaku bukan sahaja penghakisan nilai kemanusiaan, malah sifat kemanusiaan itu sendiri.

Dengan yang demikian kami menggesa perlu wujud suatu usaha keras untuk membawa perubahan budaya yang transformatif bagi mengembalikan sifat, watak dan pegangan hidup masyarakat kembali kepada kehidupan murni.

Kami menegaskan supaya usaha yang berterusan digerakkan melalui gerakan masyarakat yang menghayati nilai hidup yang dapat menyuburkan kesukarelaan, pengorbanan, menyumbang, mengutamakan budaya hidup sederhana dalam semua hal dan mengutamakan hak, tanggungjawab, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Dalam hal ini sebuah masyarakat berbudaya sukarela yang hendak dibentuk hendaklah mempunyai kerangka pemikiran dan budaya hidup yang berlandaskan hal-hal berikut:

Berdasarkan nilai dan tasawwur Islami.
Masyarakat dalam kerangka hidup ini perlu menghayati segala nilai hidup Islam yang dituntut secara total. Setiap aspek hidup masyarakat harus menjadikan akhlak dan tata hidup Islam sebagai pemandu kepada segala tingkahlaku dan tabiat hidup ditingkat individu, keluarga, masyarakat mahupun organisasi.

Berasaskan rakyat.
Bahawa masyarakat bertamadun hanya akan menjadi dinamis jika ia dapat diasaskan kepada keperluan rakyat, keutamaan rakyat dan hak rakyat. Masyarakat perlu dijadikan aktor-aktif dalam pembinaan tamadun bangsa. Rakyat perlu diturutsertakan dalam aktiviti pembinaan tamadun bukan sahaja sebagai sasaran tetapi juga sebagai penggerak.

Bersepadu dan Holistik.
Tamadun bangsa dan budaya masyarakat perlu dibina dengan mengambil kira semua aspek kehidupan; ekonomi, politik, sosial budaya, keselamatan, pendidikan, kesihatan kualiti alam sekitar, kenegaraan dan perundangan.

Multi dimensi
Gerakan pembinaan tamadun bangsa hendaklah juga melibatkan setiap aspek kehidupan secara saling berkait. Tidak ada aspek yang berdiri sendiri malah memberi kesan antara satu sama lain. Sebuah masyarakat yang celik bertamadun ialah tahu mengenai keberkaitan semua aspek dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bercirikan prinsip-prinsip pokok di atas untuk mendekati proses pembinaan tamadun, kami mencadangkan supaya budaya sukarela menjadi teras kepada usaha membawa transformasi kepada masyarakat. Transformasi masyarakat tersebut perlu diarah kepada ciri-ciri:

Masyarakat mendokong amanah Ilahi.
Masyarakat bertatasusila.
Masyarakat menghayati dan mempertahankan keadilan.
Masyarakat bertanggungjawab dan mempunyai akauntabiliti.
Masyarakat bersolidariti dan memulihara ukhuwah Islamiah.
Masyarakat berciri penyayang.
Masyarakat yang bertenaga dan beraktivisme.
Masyarakat yang mendokong keharmonian ekologi.
Masyarakat mengutamakan ilmu.
Masyarakat yang mengutamakan kesederhanaan, kerendahan diri dan ketaqwaan.
Masyarakat yang kreatif dan berfikir.
Masyarakat yang yakin diri dan berani.

Kami menyarankan agar budaya kesukarelaan terarah kepada pembinaan dan menggerak transformasi masyarakat. Jika ini tidak berlaku, maka gerak kerja kesukarelaan akan tidak bermakna.

Bidang Khidmat Kesukarelaan

Membantu dan membela yang miskin.
Khidmat untuk warga kurang upaya.
Khidmat kepada anak yatim.
Khidmat kepada isteri kematian suami.
Khidmat komuniti.
1. Pendaftaran sijil kelahiran.
2. Pendaftaran sijil kematian.
3. Pendaftaran kad pengenalan.
4. Pendaftaran sekolah.
Mewujudkan kamar membaca.
Mewujudkan kelas tuisyen.
Mendapatkan rawatan.
Permohonan biasiswa.
Khidmat berdasarkan isu-isu masyarakat. Contoh;
1. Kesihatan
a. Gizi.
b. Bahaya gula.
c. Bahaya rokok.
d. Bahaya makanan kosong.
e. Bahaya minuman fizi.
f. Kempen kebersihan.
g. Pendidikan mengenai hak pengguna.
h. Kempen keselamatan makanan.

2. Sosial
a. Menentang judi.
b. Menentang arak.
c. Menentang pelacuran.
d. Menentang pornografi.
e. Budaya hutang.
f. Kempen perpaduan dan ukhuwwah.
g. Bimbingan keibu bapaan.
h. Bimbingan pra-perkahwinan.

Haji Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

0 Comments:

Post a Comment

<< Home