PEKDIS CAW. LAWAS

"Service Beyond Ordinary Because Of Allah"

Friday, September 22, 2006

GUBRA YANG PENUH KONTROVERSI


Gubra Yang Sesat Lagi Menyesatkan
Mon Aug 14, 06 07:46:19 PM
Oleh Faisal Tehrani


Gubra ialah sebuah filem bancuhan beberapa kerat mesej iklan Hari Raya Petronas, lawak yang meraban merapek, pembelaan terhadap inter-faith commission, geng sister in Islam, Islam ala Islam Hadhari, dan penyelewengan ajaran Maulana Rumi yang ramai orang mahu percaya diri mereka memahami sebahagian aspek kesufian tetapi berada di dalam kurungan istidraj yang sesat lagi menyesatkan.

Sesungguhnya hak dan batil dalam filem ini dibaur-baurkan hingga kita akhirnya tahu bahawa inilah jenis Islam yang ditolak oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika ditawarkan oleh kafir musyrikin, Islam jenis inilah yang membawa Rasulullah berhijrah ke Madinah. Islam jenis inilah yang baginda telah menegaskan andai bulan dan matahari pun diletakkan di kiri kanan baginda, tidak ada apa yang dapat merubah baginda dari menolak Islam jenis ini. Islam jenis gubra.
Inilah sebuah filem untuk meraikan sekularisme dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Kos pembikinan Gubra ialah RM 1 juta, jenis filem 35 mm berwarna dengan lokasi sekitar Ipoh di mana gubra kononnya bermakna gugup atau gelabah.
Menurut pengarah dan penulis filem ini, Yasmin Ahmad: Saya mahu paparkan tentang kisah dan sikap manusia yang biasanya selalu berada dalam keadaan gubra. Kerana gubra ramai di antara kita tidak reti untuk menghargai kasih sayang. Selain itu, mesej yang ingin saya sampaikan melalui Gubra ialah tentang kemaafan (Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005).

Kos pembikinan Gubra ialah RM 1 juta, jenis filem 35 mm berwarna dengan lokasi sekitar Ipoh di mana gubra kononnya bermakna gugup atau gelabahSaya tidak memahami apa yang indah dan gelap atau lucunya Gubra. Saya tahu filem, mise en scene dan segalanya. Saya tak pandang semua itu. Sesekali saya malah berasa terhina dengan adengan-adengan filem ini.
Lakonan sehebat mana sekalipun telah dimualkan dengan inti yang sungguh menyesak lagi menyesatkan ini. Kerja cahaya atau sinematografi yang handal sekalipun tak dapat menenggelamkan kelucahan dan kekeliruan yang diutarakan.

Saya tidak mahu memanjangkan isu Bilal Li memegang anjing sebelum melaungkan azan Subuh. Diskusinya boleh sahaja panjang memasuki sekian mazhab dan takrif najis mughalazah. Meski sesungguhnya tidak ada keperluan untuk Bilal memegang anjing (dan ya, semua orang dapat menangkap kiasan yang ingin dihantar. Saya juga tidak bodoh).
Tetapi juga, saya kira, tanpa apa alasan sekalipun filem yang dipenuhi dengan ciuman, pelukan, dakapan, elusan, gentelan, pautan, gomolan, belaian, pegangan, ramasan, picitan, urutan, hempukan, goyangan, dukungan, kucupan, rabaan, geleman dan yang seumpama dengannya, konon untuk menggambarkan kasih sayang ini adalah sebuah filem yang meremehkan malah menghina persoalan amar makruf nahi mungkar. Peluk sana cium sini seolah-olah tema kasih sayang ialah peluk cium sesuka hati tanpa batas dan garis panduan.
Ukurlah skala iman anda. Filem ini bukan sahaja mencabar budaya tetapi mencabar duduk letak syariat dengan mempersendakannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Siapa di antara kamu melihat suatu kemungkaran, hendaklah mengubahnya dengan tindakan, jika tak sanggup maka dengan teguran, jika dengan itu tak sanggup maka dengan hatinya, yang demikian itu selemah-lemahnya iman."
Hadis tersebut terang lagi bersuluh menjelaskan bahawa aspek amar makruf nahi mungkar merupakan hal yang wajib bagi setiap Muslim. Apatah pula berada di pihak seorang Bilal yang mewakili institusi keagamaan.

Amar makruf nahi mungkar adalah wajib berdasarkan banyaknya ketentuan hukum dalam kesepakatan para ulama, berdasarkan Alquran, hadis, ijma, dan akhlak yang mulia.
Lihat sahaja ayat 71 surat At-taubah, ayat 104 dan 110 surat Ali 'Imran, Allah jelasnya telah mensyariatkan amar makruf nahi mungkar. Justeru para ulama bersepakat tentang wajibnya amar makruf nahi mungkar, cuna ia berbeza dalam tingkatan wajibnya samada wajib 'ain dan wajib kifayah.

Ukurlah skala iman anda. Filem ini bukan sahaja mencabar budaya tetapi mencabar duduk letak syariat dengan mempersendakannya.Andai kata wajib 'ain, maka setiap Muslim harus melaksanakan amar makruf nahi mungkar, akan tetapi dengan wajib kifayah, jika ada segelintir melakukannya maka terpenuhlah kewajiban tersebut walau hanya dilakukan oleh sebagian umat Islam.

Tetapi semuanya berdosa bila tidak ada seorang pun yang melakukannya. Dalam urusan kemasyarakatan, amar makruf nahi mungkar adalah satu hal yang digalakkan dan keperluan yang luar biasa signifikan supaya keseluruhan kehidupan dapat berjalan dengan baik.
Apakah yang makruf itu? Makruf adalah segala sesuatu yang dipandang baik oleh manusia dan diredhai oleh Allah SWT, samada ia perbuatan yang wajib maupun sunat, seperti mana ketaatan kepada Allah dan pengamalan perintah Allah.

Sebagai contoh menegakkan solat, melakukan puasa, menolong orang yang kesusahan, memberikan derma atau melakukan kebajikan dan lain-lain lagi.Pun ada bahagian yang sangat penting sebagai kembarnya iaitu hal yang mungkar itu perlu ditegah. Mungkar adalah setiap yang dipandang tidak baik oleh manusia dan tidak dibenarkan oleh Allah SWT. seperti maksiat, menyekutukan Allah, juga melakukan larangan Allah, seperti penzinaan (iya 8 kali, dalam Gubra lapan kali adalah angka ajaib untuk satu penzinaan berulang) makan rasuah, menipu rakyat, dan sebagainya.

Perlaksanaan amar makruf nahi mungkar harus dilaksanakan dengan apa jua cara, ini disesuaikan dengan banyak mana kuasa anda ada.Jika anda bapa dalam keluarga ya ahli keluarga yang melakukan mungkar harus ditegur dan digalakkan melakukan makruf.
Jika pemerintah urusan makruf adalah sama pentingnya dengan pencegahan kemungkaran. Secara fitrah manusia tertarik dengan musuh abadinya iaitu iblis. Dan iblis akan bijak sekali memusing-musing kepala kita hingga kita akan mencari jalan sendiri untuk mengatakan ia benar.

Penegahan mungkar dilakukan dengan kekuatan fizik, juga dengan lidah yang sopan dan bijaksana, atau hanya dengan diam dalam penyesalan terjadinya kemungkaran, atau tidak terwujudnya hal yang makruf.

Hal ini tidak terjadi dalam Gubra, Bilal sebagai satu entiti yang mewakili institusi keagamaan meredhai jiran-jirannya duduk dalam maksiat. Betul Bilal Li tak perlu memulau Temah atau Kiah tetapi Bilal Li juga tidak boleh meredhainya dengan ikhlas tanpa rasa sesal sedikit pun.
Tidak pernah dalam filem ini, walau sekali ada gambaran pencegahan di dalam hati yang paling rendah tingkatannya dilakukan. Perhatikan dialog di hadapan rumah pelacuran yang wajar dicemuh ini:
Bilal Li: Assalamualaikum, awal balik pagi ini (nota pengarang: dari melacur). Temah : Esok pagi nak hantar Shahrin pergi sekolah. Ada pelanggan nak pun terpaksa tolak. Hai abang lambat pergi surau pagi ini? Hah rambut basah tu... Bilal Li: (Gubra) Ah mana ada... Temah: Kami balik dulu.

Pelaksanaan amar makruf nahi mungkar diberikan syarat:
(1) Bahawa jelas kemakrufan yang tidak dilaksanakan orang dan kemungkaran pula jelas dilakukan,
(2) Bahawa pendakwah sedar dengan diri dan jatidirinya sebagai orang yang alim dan sesuai dengan misi amar makruf nahi mungkar yang hendak ditunaikan,
(3) Pendakwah dengan itu tahu benar bahwa amar makruf nahi mungkar tersebut membawa manfaat, maslahat, serta tidak membawa madarat
(4) Amar makruf nahi mungkar ditegakkan dengan bijaksana, berterusan dan penuh kesabaran, serta
(5) Hal amar makruf nahi mungkar itu ditunaikan dengan ikhlas berorientasi pada keredhaan Allah SWT. Ini dilakukan demi mempertahankan keluhuran Islam dan menegakkan kalimah Allah.

Temah barangkali bernasib baik kerana mendapat hidayah dan kejutan Tuhan kerana disapa penyakit (kemungkinan HIV). Temah mencari Maz, belajar al-Quran, belajar solat dan menginsafi diri tetapi itu semua datang dari Temah. Dan ilham untuk bertaubat tentulah datang dari Allah.

Manusia yang diberi hidayah seperti Temah tidak ramai, dia mencari hidayah datang. Tetapi di pihak Maz dan Bilal Li yang tahu agama, tidak ada secuit pun rasa kesal rasa mahu mendorong dan rasa nahi mungkar tersebut ditonjolkan sebelumnya.Tidak ada. Tidak, saya tak minta mereka mengherdik pelacur-pelacur yang baik itu. Mereka agaknya memang terpaksa melacur sebab tak pas SPM atau tak ada modal untuk berniaga nasi lemak bungkus. Iyalah, kita mahu percaya mereka melacur kerana tiada pilihan lain.

Tetapi sebagai sebuah naratif yang bermula dengan Bismillahhirahmanirrahim kita dikejutkan kerana Bilal Li dan isterinya bersikap tak apa dengan kerja maksiat jiran itu.
Bukan sahaja tidak menegah tetapi meraikannya.Kita faham sisi kemanusiaan yang ingin disogokkan tetapi fahami pula sisi kemanusiaan yang Islam tawarkan. Ada rangka dan konsepnya. Kenapa merendahkan ayat Dengan Nama Allah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang ini?

Ya Islam memang luhur agamanya, mak cik bertudung labuh boleh menawarkan rendang ayam buat pesakit sebelah katilnya yang muak mengunyah daging babi seperti di dalam Gubra. Siapa nafikan?Ya Malaysia memang indah kerana kita dibina dengan berbagai warna, bangsa, bahasa, masakan dan lain-lain lagi. Tetapi memaksakan Islam memahami semua persoalan itu seumpama Islam sebuah agama yang tidak cukup adalah sesuatu yang salah. Islam yang harus difahami, dihayati dan diamalkan.

Islam turun untuk kita, kita yang mesti fahamkan Islam bukan menceramahkan pula Islam yang mesti memahami kita.
Sungguh ini sebuah filem yang kacau dan sungguh kerana Yasmin serta pelbagai lagi manusia karyawan filem kita terperangkap oleh definisi Barat. Kononnya filem hanyalah gambar bergerak. Dan elemen-elemen kekaguman (untuk gubra) yang penuh kepalsuan ditawarkan juga seperti pesakit yang nampak punggungnya, atau Orked yang selamba meraba puting tetek Alan yang berbulu, atau watak Arif lakonan Adlin Aman Ramli menari dengan hanya memakai tuala hampir terlucut, atau pujian jururawat India bahawa alat kelakian Pak Atan sungguh utuh dan gemilang.Ini filem Malaysia, relaks, cool...itulah yang hebatnya, agaknya?

Tidak, filem lebih dari itu. Filem bukan cuma naratif, bukan cuma gambar yang bergerak. Filem adalah ar-Risalah seperti yang dinukilkan oleh Dr Abu Hassan dari Universiti Malaya dalam bukunya yang akan diterbitkan tidak lama lagi. Filem haruslah kembali ke jati diri kita, kepada tradisi penceritaan yang berakar pada bangsa. Bukan caca marba tidak ketentuan bahasa.
Kasihan, dalam Gubra mereka mahu percaya mereka hidup dalam kebenaran tetapi orang yang berilmu melihat mereka dalam kebodohan. Seperti mana kumpulan Sisters In Islam terpekik setiap kali apabila timbul segala isu yang mereka rasa harus dimanfaatkan untuk kepentingan diri.

Kita tahu mereka bahlol lagi jahil tetapi mereka rasa mereka maju, moden dan Tuhan memang memandang mereka mulia, oh ya dan mereka percaya bisikan iblis: Tuhan memandang semua orang sama. Dan tepekkan satu kata-kata Maulana Rumi yang lari konteks setelah dikerat-kerat bait-bait terdahulunya yang lebih enam ribu itu iaitu lampu ada pelbagai tetapi cahayanya sama. Ya, gereja, masjid dan tokong ialah rumah ibadat yang sama. Tuhan satu. Tuhan sama sahaja.

Begitu? Bagaimana dengan konteks ayat Quran, untuk Kamu agama kamu untuk kami agama kami? Cuba buka tafsir terlebih dahulu dan fahami surah al-Kafirun. Inilah asas jati diri orang Islam yang telah diterap dan diturunkan awal sejak di Mekah lagi.

Surah dengan 6 ayat ini adalah surah mengenai jati diri.Dan ya, boleh juga buka surah Taubah kerana ada juga jati diri orang munafik untuk kita lebih berwaspada dan hati-hati supaya tidak jadi seperti mereka.

Kalau tak reti agama jangan syarahkan agama dalam filem.Jangan rosakkan orang.
Gubra seperti tajuknya. Filem yang kacau, gugup dan ketidaktentuan hala seperti mana kefahaman dan diri pembikinnya.Dan memang ramai pengekor dan orang yang tak ketentuan jiwa menyokongnya.

Saya tidak hairan, bila pengarahnya ditanya wartawan tentang adengan Bilal memegang anjing, "Entah, tawakal sahajalah." Ya konsep tawakalnya begitu.Tawakal gubra.

Allah memang pengasih dan penyayang. Tetapi Allah juga ada nama-nama lain, ada sifat-sifat lain yang Allah boleh sahaja menghukum, baran dan mengingatkan dengan keras. Allah memang Maha Pengampun tetapi Dia juga tidak memberi belas kasihan.Kerana itu ada neraka sebagai tempat diazabkan. Baca asmaul husna biar habis, faham Islam biar selesai, bukan satu bahagian sahaja. Amar makruf tetapi nahi mungkar diabaikan.

Justeru, kalian memang Gubra. Janganlah membaca Rumi untuk satu bait, kemudian mendabik dada, khatamlah dahulu Mathnawi dan Diwan, dan fahamilah hubungannya dengan Tabrizi baru boleh mengeluarkan hujah di dalam filem anda. Jangan cemari ajaran kesufian dengan pendirian sesat anda ini.

Hayy Allah !
Wallahu'Alam, moga kita dikurniakan Jalan Yang Lurus yang selalu kita minta dalam solat kita itu. Moga kita dilindungi oleh sebarang kesesatan yang nyata dan juga tidak nyata.

Monday, September 18, 2006

ULANG TAHUN PERTAMA 3GPI LAWAS


3GPI Lawas menyambut ulang tahun pertama pada 3 Oktober 2006.Tarikh keramat majlis perasmian penubuhan 3GPI oleh PPDK Lawas pada 3 Oktober 2005 menandakan bermulanya era baru GPI/j QAF meneruskan kelangsungan gerak kerja berjamaah di bumi Lawas dengan bernaung terus di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas.Mengutip pengalaman bernaung di bawah BUDI sejak tahun 1996/97,kalangan GPI merasakan peluang dan ruang untuk memacu perubahan ke arah memperkasakan GPI sangat terbatas dek kekangan BUDI sebagai organisasi yang tidak mempunyai asas penubuhan yang kukuh.Boleh kita katakan bahawa BUDI bersifat 'underground' dan sentimen 'kesemenanjungan'nya agak ketara menyebabkan masyarakat tempatan kadang-kadang menjadi salah faham.

Ditambah pula dengan zaman 'dark age 'nya hampir 4 @ 5 tahun kebelakangan di mana BUDI sangat pasif dan tidak dapat meyakinkan ianya sebagai sebuah badan yang sistematik dan berpengaruh.Tatkala itu banyak kalangan kita membawa diri masing-masing.Namun imej BUDI agak bernasib baik dengan penonjolan 'orang-orang lama' seperti Ust Mazlan dan Ust Asri yang terus istiqamah bersama masyarakat mengimarahkan syiar Islam dibumi Lawas.

Penulisan kali ini tidak bermaksud untuk merendahkan BUDI selaku badan yang telah menabur budi sekian lama namun kita sedar bahawa kita tidak lagi mampu untuk bertahan bersama-sama dengan sebuah badan yang enggan berubah sedangkan persekitaran sangat mendesak untuk kita melakukan perubahan bagi memenuhi tuntutan agama.

Namun sejak BUDI dibawah pimpinan Ust Asri,kita lihat ada perubahan sedikit demi sedikit.Dalam kepayahan BUDI cuba bangkit dari kesilapan masa lampau dengan menyuburkan kembali budaya berjamaah.Aktiviti demi aktiviti dilangsungkan dengan jayanya walaupun kadang-kadang sambutan ahlinya agak dingin tetapi BUDI terus melangkah dengan berhati-hati supaya kesilapan masa lalu dapat dinyahkan dari lipatan diarinya.

Rentetan inilah maka satu perbincangan dari hati ke hati dan penstrukturan jamaah secara sistematik wajar dilakukan demi memastikan perancangan dan gerak kerja jamaah dapat dilaksanakan dengan berkesan.Segala fasiliti dan peluang yang ada di bumi Lawas ini sepatutnya kita manafaatkan seoptimanya ke arah pengwujudan KHAIRA UMMAH.

"ISLAM SEBAGAI CARA HIDUPKU"

setiausaha.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK 1427H

Ihya Ramadan: Ibadah Ramadan perlu ceria, erat silaturahim
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

KEHADIRAN Ramadan yang kita lalui sekarang hendaklah disambut dan dipenuhi dengan amal soleh. Jangan biarkan Ramadan ini berlalu begitu saja tanpa dipenuhi dengan kegiatan atau amalan berfaedah yang mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Kita perlu memanfaatkan kedatangan Ramadan sebaiknya dengan doa dan harapan amalan puasa dan ibadat lain diterima Allah.

Suasana orang yang menyambut Ramadan berbeza. Ada yang gembira dan tidak sabar mengalu-alukan ketibaan Ramadan. Ada juga tidak ceria dengan kedatangannya kerana tidak terasa keseronokan dan kenikmatan berpuasa. Malah golongan ini terasa terseksa hidup dalam sebulan ini. Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Apabila datang hari pertama Ramadan, maka bertiup angin al-Mutsiiratu dari Arasy dan menggerakkan daun-daun pohon syurga hingga terdengar sayup-sayup suara merdu yang tidak pernah terdengar oleh sesiapa pun. “Bidadari melihat dan mendengar ke arah sayup-sayup suara merdu itu sambil berkata: “Ya Allah, jadikan kami pada bulan ini (Ramadan) sebagai isteri hamba-hamba-Mu. Maka Allah mengahwinkan hamba-Nya yang berpuasa pada Ramadan dengan bidadari cantik.” Ini adalah salah satu cebisan kebaikan dan ketinggian bulan Ramadan yang sedang dilalui umat Islam.

Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya merdeka (terlepas) daripada api neraka. Semoga kita mendapat ketiga-tiga kelebihan itu. Bagi mereka yang ingin menjinakkan hati untuk merasakan keseronokan Ramadan, perlu dibuat beberapa inovasi dalam pengisian dan menghayati bulan mulia ini. Mungkin saranan amal Ramadan di bawah ini lebih praktikal untuk keseronokan berpuasa dan menggamit kegembiraan. Kita perlu mencipta suasana ceria dan menyeronokkan pada Ramadan agar jiwa tenang dan puas dengan amalan yang hanya sebulan ini.

• Badan dakwah dan kebajikan atau organisasi Islam di setiap daerah menyediakan kain rentang dengan ungkapan mengalu-alukan Ramadan seperti ‘Ahlan Wa sahlan Ya Ramadan’ dan ‘Ramadan Karim, samalah kita merebut piala Ramadhan’. Jika sudah terlepas awal Ramadan, kita masih sempat membuatnya untuk menyambut hari raya seperti ‘Raya Tanpa Maksiat’. Mungkin di rumah kita boleh cipta suasana sebegini.

• Hantar ucapan atau sistem pesanan ringkas (SMS) ‘Selamat Berpuasa’ kepada rakan.

• Latih anak-anak kecil lima tahun ke atas untuk mula berpuasa. Berikan ganjaran dan galakan kepada mereka.

• Galakkan iftar (buka puasa) secara berjemaah bersama ahli kariah dan rakan di surau atau bergilir-gilir di rumah ahli keluarga terdekat, jiran atau sahabat handai. Dengan cara ini, kita juga dapat merapatkan silaturahim sesama umat.

• Galakkan menghantar juadah berbuka kepada jiran. Namun isteri atau kaum ibu jangan keterlaluan menyediakan juadah sehingga kepenatan. Ini akan menjejaskan tumpuan untuk melakukan ibadat seperti solat Tarawih.

• Jemput rakan beriftar di rumah, pejabat atau tempat biasa kita berkumpul atau bertemu.

• Bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga di rumah atau rakan sepejabat ketika waktu rehat. Inilah peluang mendapatkan bekalan ruhiyah pada bulan mulia ini.

• Galakkan bertadarus bersama isteri dan anak.

• Tadabbur, telaah dan mengkaji isi kandungan al-Quran. Baca tafsir dan maknanya untuk meningkatkan ilmu dan iman. Al-Quran, pemberi panduan, pemisah antara hak dan batil, seterusnya membebaskan kita dan manusia daripada kesesatan.

• Rajinkan diri bersolat jemaah Tarawih di surau dan masjid. Inilah peluang untuk menambah amalan solat dan meramaikan kenalan baru..

• Rajinlah berqiamullail di surau dan masjid. Kalau takut hendak buat seorang diri, ajak rakan dan ahli keluarga yang lain.

• Setiap hari ringankan tangan untuk menghulur sedekah wang, walaupun RM1 dan harta (infaq) seperti sumbangan untuk tabung Palestin, tanah wakaf, sekolah, anak yatim, fakir miskin, tabung iftar di surau dan masjid. Derma kepada orang yang memerlukan dan galakkan anak menjadi dermawan dan suka menyumbang.

• Iktikaf di masjid. Ini secara tidak langsung memberi peluang kita beruzlah dan fokus untuk mengenali diri dan menghampirkan diri kepada Pencipta kita, selepas setahun sibuk dengan dunia dan kehidupan.

• Bersedia untuk ‘Kembara Ramadan’ pada 10 malam terakhir bersama kaum keluarga, rakan atau sekampung. Kembara Ramadan adalah ekspedisi untuk mengejar harta karun malam seribu bulan, Lailatul Qadar yang hanya berlaku sehari dalam setahun. Semoga puasa kali ini lebih baik daripada pada tahun sebelumnya.

wanitajim0@yahoo.com

Friday, September 08, 2006

Foto Sekitar Kursus Pengurusan Fail Panitia


Kelihatan Pengerusi 3GPI Lawas tersenyum mesra menyerahkan hasilan kursus/bengkel kepada Penolong PPDK Lawas.Terima kasih tak terhingga kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas yang memberikan sokongan padu kepada 3GPI Lawas.

Wednesday, September 06, 2006

Selamat Datang Barisan Guru j-QAF

Alhamdulillah,setinggi-tinggi puji dan syukur kepada Allah atas kurnia-Nya membuka hati dan memberikan hidayah kepada barisan guru-guru jQAF untuk mencurahkan bakti di Daerah Lawas yang permai ini.Belum terlambat rasanya untuk 3GPI Lawas mengucapkan tahniah dan syabas kepada ustaz dan ustazah jQAF kerana sudi bertugas di sini.

Setelah sekian lama kita hanya ada GPI,baru setahun dua diwujudkan jenama baru 'j-QAF', berat dan payah nak sebut guru 'jQAF',seakan-akan kewujudan jenama baru ini adalah untuk merungkaikan kesepaduan dan menjarakkan hubungan antara guru-guru yang mengajar Pendidikan Islam.Secara peribadinya kita lebih suka memanggil kalian semua ustaz dan ustazah sahaja.Kita tidak mau wujud jurang antara GPI dengan jQAF.Sama sekali kita tidak mau bunga-bunga perpecahan rentetan rasa ketidakpuashatian terhadap individu tertentu memekar subur dalam sanubari setiap dari kita. Kita menolak dengan tegas sebarang anasir-anasir jahat yang kemungkinan wujud untuk merosakkan hubungan murni sesama guru yang mengajar Pendidikan Islam.

Pada kita jQAF atau GPI sama sahaja.Kitalah orang yang punya tanggungjawab yang datang bersama amanah besar bagi memastikan cahaya Islam terus menyubur di bumi Lawas.Tak usah kita besarkan isu remeh,yang kita nak gempur ialah kesamaan dan kesatuan gerak kerja di kalangan kita.Yang kita minta ialah idea-idea tulus dan sumbangan ikhlas dalam setiap bidang yang menjurus kepada pemerkasaan Pendidikan Islam.

Kita sebenarnya tiada masa lagi untuk beretorik mencari siapa yang terlebih baik atau bergaji lebih tetapi yang kita nak cari ialah siapa yang sanggup 'service beyond ordinary' dan sanggup bekerja dalam satu jamaah.

Alhamdulillah sejak penubuhan gabungan GPI/j QAF daerah Lawas kita dah pun mempamerkan beberapa perubahan positif menerusi gerak kerja berjamaah.Paling terbaru kita buat Kursus Penyelarasan Fail Panitia Pendidikan Islam dan Bengkel Soalan PKBS.Kita menjangkakan kursus ini akan membuka lembaran baru dalam pengurusan fail panitia dan corak PKBS Pendidikan Islam.Berita terkini yang kita terima dimana sudah ada kalangan guru-guru akademik di sekolah tertentu yang nak mencontohi sistem fail Paniti Pendidikan Islam.

Sesungguhnya fenomena ini sangat meransang kita untuk terus merancang dan bergerak secara berjamaah bagi memperkasakan lagi GPI/j QAF khususnya di Daerah Lawas.InsyaAllah dengan rasa rendah diri kita memohon kepada Allah semoga seluruh penggerak-penggerak agama akan bersatu hati dan diberikan kekuatan spiritual bagi mengahadapi mehnah-mehnah yang mendatang.

"SEVICE BEYOND ORDINARY"

Setiausaha

Monday, September 04, 2006

Foto Kursus Pengurusan Fail Panitia


Kelihatan Ust Setiausaha,Ust Asri,Ust Tengku,Ust Rosdi dan Ust Noramin berbincang sambil bersantai.

Laporan Kursus Pengurusan Fail Panitia 2006

Laporan Kursus Pengurusan Fail Panitia &
Bengkel Pembinaan Item PKBS Pendidikan Islam 2006

Tarikh :29 dan 30 Ogos 2006
Hari :Selasa dan Rabu
Tempat :PKG Lawas.
Peserta :26 Guru Pendidikan Islam termasuk guru j-QAF

Kursus ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya merujuk kepada aspek berikut:

i)Tata urus dan sistem fail Panitia Pendidikan Islam didokumentasikan berasaskan kepada dapatan daripada lawatan nazir di SK Pusat,Lawas.Pendokumentasian ini juga diselaraskan dengan sistem fail disekolah masing-masing.

ii)Para peserta kursus telah bersetuju untuk mengambil tindakan segera mengemaskini fail panitia masing-masing sebelum atau pada 15 September 2006 dan laporan tindakan akan diajukan kepada pengerusi 3GPI Lawas (Ust Mazlan Mat Zin).

iii)Hasilan bengkel soalan adalah lengkap merangkumi JPU,soalan matapelajaran Pendidikan Islam berformat dwi tulisan dan skema jawapan.Hasilan ini dibuat dalam bentuk ’soft copy’ dan ’hard copy’.

iv)Penilaian dan komen para peserta secara keseluruhan terhadap kursus ini adalah sangat positif.

v)Sokongan dan kerjasama padu daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas dan Pusat Kegiatan Guru Lawas bagi memastikan perjalan kursus berlangsung dengan lancar.

Bersama-sama dengan ini disertakan :

i) Kertas kerja kursus
ii) Senarai nama peserta
iii) Hasilan kursus
iv) Foto-foto berkaitan
v) Penilaian peserta kursus.

Sekian terima kasih.

Saya yang menjalankan tugas,


(SUPIAN AWG HAMAT)
Setiausaha 3GPI Lawas. Tarikh:31 Ogos 2006

Samseng Bolosi Sekolah - Utusan Melayu

Samseng bolosi sekolah -- Kegiatan kumpulan rekrut pelajar dikenal pasti – Hishammuddin
Oleh Radhuan Hussain


JERANTUT 3 Sept. – Kementerian Pelajaran mengenal pasti kumpulan kongsi gelap yang melakukan kegiatan merekrut pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan mereka.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kumpulan terbabit dikesan menyelusup ke dalam sekolah dengan menjadikan pelajar sebagai sasaran.

Malah katanya, ada kumpulan haram terbabit bertindak melakukan kegiatan seumpama itu dengan mendekati pelajar sekolah di kafe siber bagi tujuan yang sama.
Sehubungan itu Hishammuddin menegaskan, beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan bekerjasama menjejaki kumpulan gengster atau kongsi gelap terbabit yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

‘Saya dan Musa tak takut atau bimbang, kami beri amaran kepada mereka ini, kita tidak akan berkompromi dengan mereka.
“Kita akan buru mereka sampai ke hujung dunia, sebab mereka cuba mempengaruhi orang (pelajar) yang tak berdosa,’’ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Menangani Gejala Disiplin Murid di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Hishammuddin turut memberi amaran kepada kumpulan terbabit supaya jangan mencabar kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran berhubung kegiatan haram itu.
‘‘Kita tahu sekolah mana, negeri dan kumpulan gengster mana terlibat, jangan main- main dengan saya,’’ tegasnya.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan sekolah, negeri atau kumpulan kongsi gelap yang dilaporkan terlibat tetapi menambah, tindakan tegas akan diambil membabitkan kerjasama dengan polis.Sementara itu, Hishammuddin berkata, serentak dengan pelancaran kempen menangani gejala disiplin murid tersebut, beliau berharap semua pihak akan memainkan peranan secara bersepadu untuk menjayakannya.

Beliau turut meminta kerjasama pihak media untuk sama-sama berperanan menangani gejala terbabit demi kepentingan semua pihak.Menerusi kempen itu, beliau mencadangkan semua pengarah pelajaran di setiap negeri mengikut garis panduan berdasarkan kesesuaian negeri masing-masing dalam melaksanakan kempen itu.

“Pelbagai cara untuk tangani masalah ini dan setiap negeri mungkin berbeza untuk melaksanakannya, pengarah diberi kepercayaan dan mandat kerana mereka lebih tahu,'' tambahnya.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib.


Harap-harap samseng belum masuk kat sekolah di Lawas.Amiin.

"Disiplin Teras Kecemerlangan"

setiausaha.

Program KDP 14 Minggu OUM KPM-4 Sept -4 Okt 2006

Iklan On line KDP OUM sekarang ini sudah pun ada dekat laman web EMOE.Sesiapa yang berminat bolehlah mengisi borang on line,mudah-mudahan kita semua akan dapat melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Apa kelebihan program KDP ini?

  1. Kursus 14 minggu di maktab terpilih akan dibayar elaun RM 24 sehari.Kalau tinggal di asrama maka kita akan dapat separuh.Oleh itu janganlah sedih walaupun beberapa elaun perkhidmatan kita dipotong.
  2. Belajar sepenuh masa 14 minggu dimaktab seronok pasal kita bagi tumpuan 100% pada 7 subjek yang ditawarkan.
  3. Setelah menamatkan 14 minggu di maktab,kita akan ditawarkan pengajian oleh OUM sekiranya mendapat markah lulus peperiksaan akhir KDP.Kos pengajian bagi PJJ OUM Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) ialah RM 15,100.
  4. Jikalau dalam tempoh lebih kurang 3 tahun setengah pengajian PJJ,kita mendapat 2.75 PNGK ke atas maka KPM akan sponsor 75% yuran pengajian.Lumayan kan?
  5. Kita hanya perlu bayar lebih kurang RM 3000 sahaja.Bah ayuh isi borang dan hantar segera demi kegemilangan masa depan bersama.

"DISIPLIN ASAS KECEMERLANGAN"

Setiusaha

Friday, September 01, 2006

Kursus Pengurusan Fail Panitia & Bengkel Item PKBS

Sekalung tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua ahli 3GPI yang telah menjayakan kursus tersebut pada 29 & 30 Ogos 2006 bertempat di PKG Lawas.Tidak lupa juga ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas di atas sokongan padu bagi melancarkan kursus tersebut.

Hasilan kursus kali ini dilihat mempunyai penambahbaikan susulan daripada kursus yang pertama dahulu.Kita sedaya upaya akan memastikan masalah-masalah yang timbul berkaitan penyampaian hasilan kursus diselesaikan dalam tempoh sebulan memandangkan sistem perhubungan kita yang masih bermasalah.

Kita mencadangkan supaya semua ketua-ketua panitia agar membiasakan diri dengan e-mail di mana kita harap setiap panitia menyediakan satu email bagi panitia masing-masing.Buat sementara waktu ini kita akan menggunapakai hanya satu email iaitu :setiausaha_3gpi @ yahoo.com.Di dalam email ini semua ketua-ketua panitia akan dapat memuat turun bahan-bahan berkaitan apabila kita memberikan kata laluan email tersebut.

Surat berkenaan kata laluan akan menyusul kemudian.Semoga kursus yang diadakan baru-baru ini akan menghasilkan suatu perubahan dari segi perancangan dan gerak tindak setiap guru-guru pendidikan Islam dan panitia masing-masing.Secara mudahnya 3GPI akan menerima laporan senarai semak gerak tindak panitia setiap sekolah pada atau sebelum 15 September 2006.

"SELAMAT HARI KEMERDEKAAN"

setiusaha