PEKDIS CAW. LAWAS

"Service Beyond Ordinary Because Of Allah"

Monday, October 30, 2006

Hiburan Raya:Apa Kata Al Fadhil Mufti Perak

Mufti Perak: Nama Aidilfitri tidak boleh digabungkan dengan hiburan

Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang terkenal dengan ketegasannya dalam hal ehwal Islam hari ini menegaskan bahawa nama Aidilfitri tidak boleh digabungkan dengan hiburan yang melalaikan dan berunsur maksiat kerana ia mencemar hari yang merupakan puncak kepada ibadat berpuasa selama sebulan. Katanya, perayaan dalam Islam adalah ibadat tetapi Aidilfitri hilang hikmah dan tujuannya apabila umat Islam terlalu menumpukan kepada hiburan sehingga sehari suntuk. Malah, katanya, ada rancangan hiburan yang bermula pada malam menjelang raya.

"Aidilfitri kelihatan sudah dicemari dengan terlalu banyak rancangan hiburan sehingga amalan kunjung-mengunjung semakin dilupakan.

“Ada yang bergegas tinggalkan masjid kerana nak kejar tengok siaran, bukannya nak ziarah rumah orang," katanya kepada pemberita di Ipoh.

Menurutnya, setiap tahun pelbagai rancangan televisyen dirangka untuk memeriahkan Aidilfitri tetapi malangnya di negara ini boleh dikatakan sebahagian besarnya bercorak hiburan. "Orang Melayu begitu tenggelam dalam hiburan. Perkara ini sangat berbeza dengan beberapa negara Islam lain seperti di Indonesia di mana sepanjang bulan Ramadan dan pada Aidilfitri lebih banyak rancangan bercorak keagamaan disiarkan.

"Tidak terkecuali di negara-negara Arab yang banyak menyiarkan cerita berkaitan kesedaran dan bercorak agama tetapi drama di negara kita masih dengan kisah cinta, kahwin, cerai dan sebagainya," katanya.

Tegasnya, perbuatan menyambut Aidilfitri dengan pengisian hiburan yang keterlaluan sehingga menjadikan umat Islam lalai "boleh jatuh kepada haram". "Menyambut Aidilfitri dengan sogokan rancangan bercorak hiburan yang terlalu banyak sehingga melalaikan amatlah tidak sesuai seolah-olah menidakkan hari raya itu sebagai hari kemenangan umat Islam. "Islam tidak menghalang hiburan tetapi bukan yang keterlaluan sehingga umatnya lalai semata-mata kerana ingin memuaskan nafsu," katanya.

Kita pun kena beringat jugak.Tak usah ustaz dan ustazah yang nombor satu tercangak depan TV sebab nak tengok artis pujaan sehingga menggadaikan keunggulan ilmu dalam dada.

"BERILMU,BERAMAL DAN BERIMAN"

Setiausaha.

Sunday, October 29, 2006

Amalan Kongsi Raya:Perlukan Penilaian Semula

Baru-baru ini dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita begitu gah dengan amalan kongsi raya yang telah menjadi sebahagian daripada tentatif tahunan budaya dan kelangsungan integrasi antara kaum.Amalan kongsi raya ini telah disentuh secara lunak oleh Al Fadhil Mufti Perak akan tetapi sentuhan Al Fadhil Mufti tenggelam bersama hiruk pikuk gendang tarian naga atau gendang tarian burung merak dan seumpamanya.Kita juga masih tidak lupa dengan isu ketua jabatan syariah Takaful Malaysia yang telah mengeluarkan kenyataan berkaitan amalan raya yang dianggap 'panas' oleh kebanyakan orang.Lalu apakah pendirian kita selaku barisan pelapis pertahanan akidah Islamiyah.

Berikut ialah laman web islam-0nline yang telah memuatkan salah satu kenyataan al-Qaradhawi yang berbunyi :

Maksudnya lebih kurang : Dan dia (al-Qaradhawi) berkata tentang mengucap tahniah kepada perayaan Yahudi dan Kristian : "Ini (ucap tahniah) termasuk dari hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan ta'ziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut. Maka apakah pula yang melarang kamu dari memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya. Allah berfirman : "Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa." (al-Nisak : 86). Ini tidaklah bermakna kita menyambut perayaan mereka bersama mereka. Sebaliknya kita hanya mengucapkan tahniah sahaja. Inilah daripada kebaikan dan keadilan yang datang bersama agama ini (Islam)."

Berdasarkan kenyataan ini, yang hanya dibenarkan adalah ucap tahniah dengan perayaan. Adapun menyambut bersama ia tetap terlarang. Maka kita tidak menghadiri rumah terbuka mereka, kerana itu termasuk sebahagian daripada merayakan perayaan mereka.

"Sesungguhnya agama yang diredhai disisi Allah ialah Islam"

Setiausaha.

Saturday, October 21, 2006

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1427H

MAAF ZAHIR BATIN DARIAPADA WARGA 3GPI LAWAS

Hari ini kita merasa amat bangga dan syukur dengan Qudwatun Hasanah yang ditunjukkan oleh tokoh sukarelawan negara kita yang telah membuktikan kepada dunia komitmennya terhadap semangat kesukarelawan.Kita bila lagi????

Setiausaha.

Presiden Mercy Malaysia dapat anugerah Gandhi

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Presiden Persatuan Ban tuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) Datuk Dr. Jemilah Mahmood (gambar) menerima Anugerah Gandhi, King, Ikeda” semalam, menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama yang menerima perakuan oleh Martin Luther King Jr International Chapel of Morehouse College, Amerika Syarikat.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini hari ini, dekan institut itu Dr. Lawrence E Carter Sr menyampaikan anugerah berkenaan kepada suami Dr. Jemilah, Datuk Dr. Ashar Abdullah, bagi pihaknya.

Dr. Jemilah kini menghadiri program latihan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Sweden.
“Kami bangga mengaitkan nama Dr. Jemilah dengan anugerah tertinggi kami memandangkan beliau merupakan insan contoh yang berjaya menarik tumpuan kami menerusi pengorbanan yang tidak kunjung padam dalam menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan menerusi Mercy Malaysia kepada mere ka yang menderita tanpa mengira kaum, warna kulit dan fahaman,” kata Carter.
– Bernama

Tuesday, October 17, 2006

Selamat Beribadah Pada Akhir Ramadhan

Selamat Beribadah Pada Akhir Ramadhan
Semoga Beroleh Lailatul Qadar 1427
Diberikan Keberkatan & Keampunan Ilahi

Setiausaha.



Jangan berpecah kerana bilangan rakaat
Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

DALIL umum bagi solat terawih ialah sabda Nabi s.a.w. bermaksud: Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala maka diampunkan baginya dosanya yang lalu. (Riwayat Bukhari)

Mendirikan Ramadan antaranya bermakna menghidupkan malamnya dengan solat sunat terawih dan amalan-amalan lain. Orang yang bersolat terawih termasuk dalam maksud hadis ini yang menyarankan agar umat Islam mendirikan malam.

Cuma terdapat beberapa isu yang perlu dijernihkan agar umat Islam dapat terus menikmati udara perpaduan dan keharmonian. Antaranya isu rakaat solat terawih.Terdapat perbezaan pendapat tentang hal ini. Masalah ini pun pada sesetengah keadaan sudah menjadi barah perpecahan umat Islam. Mengapa? Ini kerana masing-masing seolah-olah mendabik dada bahawa pendapatnya sahaja yang benar dan betul.

Dalam mazhab empat iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali, jumlah rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat. Dalil mereka ialah perbuatan para sahabat Nabi s.a.w.. Diberitakan bahawa umat Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab bersolat terawih sebanyak 20 rakaat.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. solat pada bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat. Oleh kerana Umar al-Khattab adalah salah seorang Khulafa ar-rasyidin dan tidak ada pula mana-mana sahabat ketika itu yang membantah perbuatan Umar, maka menjadi ijmak sepakat bahawa memang solat terawih boleh dikerjakan 20 rakaat.

Pendapat kedua menyatakan rakaat solat sunat terawih adalah 36 rakaat. Inilah amalan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Inilah juga amalan penduduk Madinah al-Munawwarah.
Pendapat ketiga pula menyatakan ia hanya lapan rakaat. Pendapat ini bersandarkan kalam isteri Nabi Aishah r.a.: Nabi s.a.w. tidak pernah menambah pada bulan Ramadan atau bulan selain Ramadan lebih daripada 11 rakaat.(Riwayat Bukhari)

Imam Abu Hanifah, seorang ulama hebat dan imam ikutan bagi umat Islam berkata mafhumnya: “Solat terawih adalah sunat muakkad. Dan Umar r.a. tidak melakukannya daripada dirinya sendiri, dan beliau bukan seorang ahli bidaah. Beliau tidak menyuruh melainkan ada asalnya di sisinya dan kefahaman daripada Nabi s.a.w..”

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah, seorang ulama hebat yang selalu mengetuk pintu ijtihad dan komited terhadap pendapat yang mempunyai sandaran sunah, menyatakan, ‘Dan yang benarnya bahawa semua pendapat itu baik dan sesungguhnya ia tidak tertentu pada Qiyam Ramadan dengan bilangan tertentu. Dan Nabi s.a.w. tidak menentukan bilangannya.

Imam Syaukani, seorang lagi ulama yang sealiran dengan Ibnu Taimiyyah juga menyatakan bahawa menentukan bilangan rakaat solat tarawih tidak mempunyai nas atau dalil daripada hadis Nabi s.a.w..

Pendapat-pendapat ini dinukilkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillathu dalam juzuk kedua kitab tersebut ketika membicarakan persoalan solat-solat sunat.
Apakah sepatutnya pendirian kita?

Masing-masing ada dalil dan hujah. Lapan rakaat atau 20 rakaat, kedua-duanya tidak berdosa. Apa yang salah dan berdosa ialah tuduh-menuduh, berkelahi dan berpecah-belah sesama umat Islam.

Oleh itu, adalah baik kiranya umat Islam menghentikan polemik dan perbalahan tentang rakaat solat terawih. Tidak perlu ada kem 20 rakaat dan kem lapan rakaat.Kem 20 rakaat menuduh Kem 8 sebagai malas beribadat dan menyalahi sunah para sahabat. Kem 8 pula menuduh kem 20 sebagai melakukan bidaah kerana solat 20 rakaat.

Yang pasti dan sabit adalah tidak ada nas dan dalil daripada Nabi s.a.w. tentang bilangan rakaat solat terawih. Bagi menjaga kesejahteraan dan perpaduan umat, adalah baik jika kedua-dua pendapat ini diamalkan. Ada malam tertentu dibuat 20 rakaat. Ada malam yang lain dibuat sebaliknya. Tidak wajar ada tuduh-menuduh dan bidaah-membidaah kerana semua bilangan rakaat tersebut dilakukan oleh generasi awal Islam. Kalau malam ini rasanya badan sihat dan kuat, apa salahnya untuk membanyakkan solat sunat, maka solatlah 20 rakaat. Kalau rasa agak letih, apa salahnya diambil sedikit masa dan tenaga, maka bersolatlah lapan rakaat.

Tuduhan bahawa solat terawih 20 rakaat sebagai bidaah adalah tuduhan yang melampau kerana ini menunjukkan para sahabat besar Nabi sendiri sepakat melakukan bidaah. Berpegang kepada hadis Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. tidak solat lebih daripada sebelas rakaat sama ada bulan Ramadan atau bukan Ramadan juga kurang tepat. Ia hanya riwayat Aishah r.a..
Sesungguhnya tidak sabit dengan hadis sahih atau hadis daif bahawa Nabi s.a.w. menentukan bilangan rakaat terawih setakat lapan rakaat.

Kalau masih juga wujud pertelingkahan dan perbezaan pendapat, maka amatlah wajar jika masjid dan surau ditutup sahaja selepas selesai solat Isyak. Tidak perlu lagi dibuat solat terawih. Kenapa pula begitu? Ini kerana terawih hukumnya sunat sahaja. Tidak ada satu dalil Quran dan sunah pun yang mewajibkan solat terawih. Sebab itu ia disebut sebagai solat sunat terawih. Dari sudut yang lain, menjaga perpaduan adalah wajib dan fardu. Maka mendahulukan perkara wajib atas perkara sunat adalah fardu. Oleh itu, demi menjaga perpaduan, maka wajiblah dikorbankan perkara sunat iaitu terawih.

Lajunya solat terawih macam kereta api elektrik

Kebanyakan solat terawih di masjid dan surau dikerjakan dengan cepat malah seolah-olah tergesa-gesa. Ini adalah isu yang wajar diberi perhatian. Cara ini menyalahi sunah Nabi s.a.w.. Solat Nabi adalah indah, cantik dan anggun. Aishah r.a. ketika menceritakan solat malam Nabi s.a.w. berkata, Baginda solat empat rakaat. Maka jangan engkau tanya tentang keelokan dan panjangnya solat itu. (Riwayat Bukhari)

Hadis ini menggambarkan bagaimana Nabi s.a.w. solat dengan tenang, elok dan bersungguh-sungguh. Oleh itu, untuk para imam solat dan umat Islam, bersolatlah dengan sederhana. Jangan terlalu panjang dan jangan terlalu cepat.

Diharap dua isu ini dapat diberi perhatian oleh umat Islam. Marilah kita semua meningkatkan darjah ketakwaan dengan terus beramal dengan sunah Nabi s.a.w. Polemik rakaat adalah polemik lapuk yang mesti dihentikan jika ia membawa perpecahan umat Islam.

Sunday, October 15, 2006

RESOLUSI MUZAKARAH ULAMA 2006


"SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN &
SELAMAT BERPUASA"

MAAF ZAHIR BATIN

setiausaha,

Berikut ialah resolusi yang dipetik dari laman web Mufti Perak.


R E S O L U S I
MUZAKARAH ULAMA 2006
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-78
KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN.

Tema: Pemurnian Islam daripada Liberalisme dan Pluralisme

MUKADIMAH
Bismillahi ‘r-Rahmani ‘r-Rahim

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam)
yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan
janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-
Beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian
Itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Al-An`am: 153

Dengan limpah rahmat petunjuk Yang Maha Esa, Muzakarah Ulama yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Hotel Casuarina, Ipoh pada 14-16 Jamadil Awwal 1427H, bersamaan 11 -13 Jun 2006 telah berkesempatan meneliti, membahas dan merumuskan tiga kertas kerja di sekitar isu “Islam liberal” dan pluralisme agama.

Muzakarah telah mencapai kesepakatan menilai dan menyikapi aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama (menyamakan semua agama/mengakui kebenaran semua agama) sebagai penyimpangan serius dan berbahaya.

Ia adalah sebahagian daripada agenda al-ghazw al-fikriy (serangan pemikiran) yang didalangi oleh kaum orientalis dan dilatari oleh pengaruh faham asing: sekularisme modenisme dan pascamodenisme. Pemikiran liberal dan plural dalam konteks tersebut jelas menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya, termasuk,

• Mencemarkan kemurnian tauhid (teras `aqidah Islamiah).
• Menggugat kemutlakan al-Qur’an sebagai kitab suci, wahyu Ilahi (kalamu ‘LLah).
• Menggugat martabat kerasulan dan keluhuran peribadi Nabi Muhammad s.`a. w.
• Menggugat autoriti al-Sunnah dan ijma` `ulama’.
• Menggugat keunggulan syari`at dan kedaulatannya.
Berasaskan hakikat tersebut, muzakarah dengan penuh kesedaran dan keprihatinan membuat resolusi-resolusi berikut:

DASAR-DASAR KERAJAAN

1. Sesuai dengan tanggungjawab pemegang amanah hirasatu ‘d-din wa siyasatu ‘d-dunya bih (memelihara agama dan mengurus kehidupan duniawi dengannya) serta kewajipan melaksanakan perintah al-amru bi ‘l-ma`ruf dan an-nahyu `ani ‘l-munkar (memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran), maka pemerintah hendaklah membuat pendirian tegas tentang penyelewengan aliran pemikiran “Islam liberal”, termasuk faham pluralisme agama. Sehubungan dengan itu langkah-langkah seperlunya hendaklah segera diambil bagi mencegah penyebaran pemikiran tersebut, termasuk larangan pengedaran bahan-bahan bercetak atau penyiaran program-program (media elektronik) yang mempromosikan idea liberalisme dan pluralisme dalam pengertian tersebut.

2. Demi memelihara kemurnian `aqidah Islamiah, amalan berkongsi perayaan hari kebesaran keagamaan di kalangan penganut pelbagai agama hendaklah ditinjau kembali dari segi keselarasannya dengan hukum syara` kerana dikhuatiri terdapatnya unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik.


3. Peruntukan perlembagaan yang mencatatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipertahankan, direalisasikan dan diterjemahkan secara yang lebih nyata dan bermakna dengan mendaulatkan syari`atnya, menguatkuasakan undang-undangnya, menerapkan nilai-nilai murninya dan memperkasakan institusi-institusinya.

Sehubungan dengan itu hak dan kewajipan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkan Islam secara utuh dan murni sebagai cara hidup hendaklah sentiasa dilindungi daripada sebarang gangguan mana-mana pihak.

4. Selaras dengan semangat tersebut, pemerintah hendaklah dengan tegas dan muktamad menolak IFC ((Interfaith Commission) dan gagasan-gagasan lain sepertinya yang bermotif menggugat Islam (ajarannya, undang-undangnya dan institusi-institusinya) serta mencampuri urusan keagamaan masyarakat Islam.


5. Melihat gejala penyuburan gaya hidup sekularistik-materialistik sebagaimana yang terjelma dalam bentuk keleluasaan budaya hedonistik pesta-pestaan dan hiburan yang melampau-lampau, muzakarah ini berpendapat bahawa perkembangan tersebut akhirnya akan mengakibatkan pendangkalan agama dalam erti pemusnahan kekuatan rohaniah dan pencemaran iklim kehidupan keagamaan di kalangan rakyat. Sehubungan dengan itu muzakarah ini mendesak pemerintah segera bertindak mengawal perkembangan tersebut, terutama media massa (cetak dan elektronik) yang seharusnya berfungsi mendidik rakyat dengan nilai-nilai murni keagamaan untuk merealisasikan cita-cita pembinaan masyarakat yang religius (masyarakat yang taat beragama).

PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN

6. Menyedari betapa seriusnya ancaman terhadap keutuhan dan kemurnian Islam akibat berleluasanya penyebaran faham dan aliran pemikiran yang menyeleweng seperti yang dilakukan oleh JIL (Jaringan Islam Liberal) dan sekutu-sekutunya, maka muzakarah ini mengusulkan penubuhan badan atau institusi khusus yang dianggotai oleh ulama dan ahli-ahli akademik untuk memantau dan menangani ancaman pemikiran tersebut. Sebuah unit khas dengan fungsi seperti di atas perlu diwujudkan di Jabatan Mufti.

7. Berdasarkan kenyataan bahawa faham sesat yang memakai label “Islam liberal” tersebut selalu diperlihatkan sebagai wacana yang bersifat keintelektualan dan disasarkan terutamanya kepada golongan terpelajar, maka muzakarah ini menyarankan agar kursus mengenai aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng diajarkan di institusi-institusi pengajian tinggi dengan penekanan khusus pada kritik dan sanggahan terhadap “Islam liberal” dan aliran-aliran lain sepertinya.

8. Sehubungan dengan perkara di atas, program penghantaran pelajar-pelajar bidang pengajian Islam ke institusi-institusi pengajian tinggi luar negara hendaklah dilaksanakan secara yang lebih selektif dan berhati-hati dengan mengambil kira risiko pengaruh pemikiran “Islam liberal” ke atas pelajar-pelajar berkenaan.

9. Menginsafi pengaruh aliran-aliran pemikiran yang membahayakan faham dan pegangan keagamaan di kalangan umat, muzakarah ini merasakan perlunya usaha pemantapan pendidikan `aqidah Islamiah (berasaskan faham ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah) di semua peringkat pendidikan formal dan tidak formal.

DAKWAH DAN DIALOG

10. Menyedari hakikat bahawa kegiatan jahat mencemarkan kemurnian ajaran Islam adalah bersifat global, intensif dan terancang, muzakarah ini menggesa semua pihak, institusi-institusi kerajaan, badan-badan dakwah, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik agar lebih prihatin dan berpartisipasi secara aktif, serius dan penuh komitmen dalam gerakan membasmi faham-faham perosak, dan menyedarkan umat tentang bahaya “Islam liberal” termasuk faham pluralisme agama.

11. Di samping meningkatkan usaha pemurnian Islam dengan menolak “Islam liberal” dan faham pluralisme agama, muzakarah ini ikut mendukung idea dialog antara agama dengan semangat untuk saling memahami dan saling menghormati tanpa mencairkan jati diri dan keyakinan terhadap agama masing-masing. Selain itu, pintu dialog juga seharusnya sentiasa terbuka kepada semua pihak termasuk para pendukung “Islam liberal” dan lain-lainnya.

PEMBAHARUAN, IJTIHAD DAN PERSYARATANNYA

12. Muzakarah ini juga menyepakati keperluan melakukan pembaharuan keislaman dalam erti tajdid, islah dan ijtihad. Bagaimanapun, usaha-usaha tersebut harus dilaksanakan berasaskan prinsip dan kaedah yang sah mengikut ajaran Islam. Dalam kaitan ini, muzakarah mengingatkan bahawa pembukaan pintu ijtihad tidak dengan sendirinya bererti kebebasan dan kesewenang-wenangan ber”ijtihad” tanpa tertakluk kepada sebarang syarat. Ijtihad adalah `ilmun wa amanah (ilmu dan sekaligus amanah) yang harus dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh mereka yang memenuhi segala persyaratannya.

TEKAD DAN KOMITMEN MUZAKARAH

13. Menyedari berlakunya pelbagai percubaan untuk mendistorsikan hakikat Islam dan mencipta “Islam” versi liberal, muzakarah ini bertekad untuk berjuang mempertahankan dan mempromosikan Islam hakiki, tulen dan murni berdasarkan sumber asasinya, al-Qur’an dan al-Sunnah. Sehubungan dengan itu muzakarah menyeru seluruh umat untuk menentang usaha musuh-musuh Islam untuk merubah wajah dan citra Islam mengikut selera dan keinginanan mereka.

Hotel Casuarina, Ipoh,
16 Jamadil Awwal 1427H,
13 Jun 2006.